Rabu, 13 Januari 2010

MKK perlu jayakan matlamat jadikan Kedah ‘Belanda Timur’

Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

SUNGAI PETANI - Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian Dan Industri Asas Tani, Bioteknologi Negeri, YB. Dato’ Ir Amiruddin Hamzah menyeru semua anggota Majlis Ketua Kampung/Komuniti (MKK) agar turut berperanan dalam usaha ke arah merakyatkan projek-projek pertanian di negeri ini kepada masyarakat.

Katanya, hasrat kerajaan negeri untuk muncul sebagai negeri pertanian utama atau ‘Belanda Timur’, memerlukan MKK lebih bermaklumat bagi merancang program ekonomi berasaskan pertanian kepada masyarakat kampung atau komuniti masing-masing.

Ujarnya, program ekonomi berasaskan pertanian tidak semestinya melibatkan kerja-kerja penanaman atau penternakan, tetapi boleh dijayakan juga dengan kerja mengurus dan memproses kedua sumber tersebut.

Disebalik fokus tersebut, tegas beliau, kerajaan negeri tidak akan meminggirkan sama sekali kemajuan industri, kemodenan pembangunan dan perkembangan perkhidmatan sedia ada mahupun yang akan dimajukan, tetapi mahu lebih memberi penekanan di bidang pertanian memandangkan keperluan dan permintaan kepada makanan makin bertambah saban hari.

Menurut beliau, tambah nilai kepada hasil pertanian perlu diadakan dalam usaha mengurus dan memproses sumber yang ada.

Maka peluang tersebut, jelas YB. Dato’ Ir Amiruddin, perlu dikembangkan setiap MKK kepada masyarakat di bawahnya, memandangkan MKK berperanan sebagai penghubung antara masyarakat dengan jabatan-jabatan kerajaan lain.

“Paling tidak, kita harapkan program ini untuk (tujuan) sara diri. Dari terpa (berkejar) ke pasar setiap hari, kurang-kurang laman rumah kita boleh kita manfaatkan untuk kegunaan sendiri,” ujar beliau menyuntik galakan dalam ucapan perasmian penutupnya pada Majlis Taklimat Kepada MKK di Institut Pengurusan Peladang, di sini.

Bagi merakyatkan projek pertanian dan membantu golongan petani kecil sekaligus mencapai hasrat menjadi ‘Belanda Timur’, kerajaan negeri katanya, mengambil tanggung jawab untuk memastikan kelancaran urusan pemasaran produk pertanian dengan mewujudkan Pusat Pengumpulan dalam Daerah Kuala Muda.

Beliau turut menjelaskan mengenai galakan kerajaan negeri untuk rakyat memperkembang dan mempelbagaikan produk pertanian dengan menceburi industri hiliran.

Melanjutkan ucapan, beliau memaklumkan mengenai pembiayaan khas kerajaan negeri kepada rakyat negeri ini yang berminat menceburi penternakan ikan keli dan ikan talapia untuk dikomersilkan.

“Untuk (ikan) keli kita sedang siapkan ‘nukleus farm’ yang akan dikendalikan Perbadanan Menteri Besar Kedah dan diternak di dalam kanvas. Keli ni kunci kejayaannya ialah pasaran, benih dan pemakanan keli.

“Jadi pengalaman kejayaan yang telah kita tengok terletak pada benihnya, jadi kita akan bekalkan benihnya. Bila berjayanya program ni, kita nak merakyatkan projek ini di mana rakyat akan terlibat dan syarikat akan beli dari kita secara ‘contract farming’,” ujar beliau.

Sebelum mengakhiri ucapan, YB. Dato’ Ir Amiruddin sekali lagi mempertegaskan peranan MKK dalam membantu usaha pengembangan pertanian dengan mengambil inisiatif mengadakan pelbagai program atau kursus berkaitan pertanian melalui saluran dan hubungan dua hala bersama agensi berkaitan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog